Nampaknya, ruang maya atau siber yang selalunya dikaitkan dengan internet juga tidak terkecuali daripada aktiviti-aktiviti ‘ganas’. Seperti apa yang berlaku di alam nyata, ada sahaja ancaman-ancaman siber yang dilapor berlaku. Terutama sekali yang memberi kesan kepada komputer milik pengguna atau syarikat.
Siapa dalang di sebalik ancaman tersebut? Sudah pastinya manusia yang menggunakan kemahiran mereka untuk tujuan atau niat yang tidak baik. Golongan inilah yang selalunya mencipta pelbagai ancaman – seperti virus, cecacing (worm), trojan, spyware, adware, rootkit, bot, dan ancaman lain yang seumpamanya.
Hari ini, istilah ICT seperti virus dan spyware mungkin sudah kerap ditemui atau didengar. Bagaimana pula istilah lain seperti malware? Istilah ini mungkin baru bagi sesetengah orang. Sebenarnya istilah ini semakin kerap digunakan untuk merujuk kepada program komputer berniat jahat seperti yang disenaraikan tadi.
Program inilah yang sering menggugat keyakinan orang ramai apabila menggunakan komputer dan internet sejak sekian lama hingga ke hari ini. Ancamannya semakin membimbangkan kerana ia boleh menjejaskan keselamatan komputer dan data. Bahkan, sudah ada yang berupaya menyebabkan kerugian lebih besar.
Ini bukan cakap-cakap kosong. Sebaliknya berlandaskan fakta-fakta laporan yang ditampilkan syarikat atau vendor perisian keselamatan setiap tahun. Bagi mereka, pelbagai ancaman siber hari ini bukan isu tempatan sebalik isu global yang perlu ditangani secara berterusan. Bukankah ruang siber itu tiada sempadannya?
Secara tidak langsung, peningkatan ancaman siber ini turut merangsang pertumbuhan industri keselamatan, terutamanya yang melibatkan perisian seperti antivirus. Tidak hairanlah, jika hari ini puluhan syarikat atau vendor giat dalam pengeluaran produk antivirus untuk melindungi aset ICT pengguna dan perniagaan.
Sebenarnya, industri perisian keselamatan semakin membesar, selaras dengan kemajuan pesat industri ICT di serata dunia. Jadi, banyak syarikat terlibat dan bersaing dengan produk masing-masing untuk memenuhi keperluan pasaran. Setakat ini sahaja sudah ada puluhan jenama perisian antivirus yang ada di pasaran.
Kepelbagaian jenama ini kadangkala menyusahkan pengguna membuat pilihan. Contohnya, untuk memilih antivirus yang terbaik atau paling sesuai dengan keperluan mereka. Jika demikian, anda tidak perlu khuatir kerana Majalah PC edisi Mei 2007 akan menyentuh isu-isu yang disebut tadi dengan lebih mendalam. DAPATKAN SEKARANG JUGA..:)
Anda juga boleh melanggan maklumat terkini laman Majalah PC Xtra ini menerusi aplikasi RSSMate..:)





