Keselamatan storan mudah alih di tangan anda
Apabila storan mudah alih (termasuklah storan USB bersaiz kecil) hilang, dicuri atau ditemui orang lain, ia boleh mendedahkan anda kepada bebarapa risiko. Apabila ia menyimpan maklumat penting atau data sulit seperti maklumat akses, ada kemungkinan identiti anda disalah guna atau mampu menggugat privasi anda.Jika storan itu tidak hilang sekali pun, keadaan anda masih belum selamat – kerana ancaman datang dalam bentuk yang lain. Anda mungkin sedia maklum bahawa storan mudah alih juga terdedah kepada jangkitan virus. Malah kes terdahulu membuktikan bahawa virus boleh dipindah melalui USB flash atau kad memori.
Vendor perisian keselamatan (termasuk antivirus dan antispyware) turut terlibat dalam penghasilan perisian bagi menlindungi pengguna. Hari ini sudah ada beberapa perisian pengimbas virus, spyware, adware, trojan dan ancaman lain yang boleh diisi ke dalam storan mudah alih dan boleh beroperasi dari storan berkenaan.
Ini bermakna, pengguna bukan sahaja boleh mengimbas kandungan storan tersebut agar ia tidak dijangkiti, bahkan mampu mengimbas PC (tempat storan itu dihubungkan) yang mungkin sudah dijangkiti. Ini adalah langkah proaktif agar storan mudah alih itu tidak menjadi perantara program jahat menular ke PC yang lain.
Mungkin disebabkan permintaan dan penggunaan storan mudah alih ini kian meningkat, sesetengah pemaju perisian mengeluarkan produk-produk komersial. Ada yang dipakejkan bersama storan jenama tertentu dan ada juga yang dijual secara berasingan – perisian sahaja tanpa storan USB. Harga, aplikasi dan fungsi yang ditawarkan juga berbeza.
Berdasarkan faktor tersebut, pengguna storan mudah alih boleh membelinya jika ia dirasakan berbaloi. Jika sebaliknya, mereka boleh mencari alternatif yang boleh dimiliki secara percuma. Sesetengah ciri dan keupayaan perisian percuma mungkin tidak setara, tetapi lebih baik dari tiada langsung.
Apakah perisian keselamatan yang dimaksudkan itu? Jawapannya ada dalam Majalah PC edisi Mac 2007!